Powered By Blogger

Tuesday, 2 July 2013

Penanaman Halia


Pengenalan
Halia atau nama botaninya Zingirber officinale adalah tanaman yang dikatakan berasal daripada Negara China. Selain itu, halia juga dikenali sebagai ginger dalam (Bahasa inggeris), jahe, alia, jae, sipadeh dan lia (Bahasa Indonesia). Manakala dalam bahasa Thailand ialah kinkh atau kinkh-daen. Halia adalah tanaman yang mempunyai batang tidak berkayu, tumbuh menegak, berumpun dan rizom yang tumbuh mendatar di dalam tanah bersaiz besar. Manakala, isi halia berwarna kuning, kulit berwarna coklat muda dan tunas baru pula adalah berwarna kemerahan.
Seterusnya, daun halia berbentuk bujur dengan hujung menirus dan berwarna hijau tua. Selain itu, tepinya licin dan tangkai daun keluar daripada rizom. Kemudian , bunganya adalah majmuk dan sederhana besar. Manakala, warnanya ialah putih kekuningan. Tambahan pula, jambak bunga jantan dan betina keluar daripada celah daun. Halia boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
       I.            Halia Bentong
·         Mempunyai isi yang besar dan berisi bendalir.
    II.            Halia Taiwan
·         Mempunyai jari-jari rizom yang besar dan penuh berisi dan mempunyai lendir. Selain itu, mempunyai rasa sederhana pedas.
 III.            Halia Indonesia
·         Mempunyai rizom yang panjang dan berwarna kuning muda.



Antara khasiat atau kegunaan halia ialah rizom halia mengandungi air, serat, karbohidrat, kalium, fosforus, tenaga, protein, niasin, asid amino dan sebagainya. Seterusnaya, halia dikatakan dapat merawat penyakit banyak angin dalam badan, sakit kepala, sistem pencernaan bermasalah, sakit jantung, reumatisme, mati pucuk dan sebagainaya. Manakala, kegunaan halia ialah sebagai rempah perasa dalam masakan dalam bentuk halia segar, halia kering dan bergula. Selain itu, halia juga diproses menjadi serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa dalam makanan seperti sos dan bakeri. Manakala, dalam bidang perubatan ialah halia dapat membunuh sel barah. Seterusnya, halia juga bersifat karminatif, stimulan dan pembunuh kuman, sekiranya diambil sebagai ubat.

KEPERLUAN ASAS TANAMAN
            Tanaman halia sesuai pada pelbagai jenis tanah termasuk tanah gambut yang mempunyai saliran yang baik dan peroi. Ini adalah disebabkan, untuk mengelakkan penyekatan pertumbuhan rizom. Seterusnya, tanaman halia akan hidup subur pada keadaan tanah yang sedikit berasid iaitu pH 5.5 hingga pH 6.5. Namun, ia juga boleh ditanam pada tanah yang mempunyai  pH 3.8 dan  bertanah gambut. Manakala, tanaman halia memerlukan taburan hujan 200 – 260 cm setahun.

Kaedah Penanaman
            Bahan tanaman halia boleh didapati  melalui keratan rizom yang tua iaitu berumur lebih daripada Sembilan bulan. Seterusnya, cara penyediaan bahan tanaman ialah keratan rizom yang baru diambil daripada ladang mestilah dipilih terlebih dahulu dan hanya rizom yang baik akan diambil. Setelah itu, keratan tadi disimpan ditempat yang teduh dan berangin selama dua atau tiga minggu untuk percambahan tunas. Kemudian, rizom dikerat 5 cm panjang dan mempunyai dua mata tunas. Selain itu, rizom juga perlu direndam selama lima minit dengan Bordeaux (4:5:50) dan dikeringkan semalaman sebelum ditanam diladang. Tujuan merendam rizom tersebut ialah untuk mengurangkan penyakit layu.
Sebelum menanam, penyediaan tanah perlu dilakukan terlebih dahulu seperti tanah haruslah digembur dan dibajak. Manakala, saiz batas yang diperlukan ialah 30cm tinggi dan 61cm antara batas. Sistem penanaman halia yang selalu diamalkan ialah sistem barisan. Seterusnya, jarak tanaman yang disyorkan bagi tanaman halia ialah 60cm dalam barisan. Jarak penanaman ini adalah untuk menggalakkan pembesaran rizom yang lebih subur dan meningkatkan pengeluaran hasil.
Cara penyediaan lubang tanaman ialah lubang tanaman digali sedalam 15 cm dan rizom diletakkan kedalam lubang dengan mata tunas yang menghala ke atas. Seterusnya, kambus dan padatkan tanah.
Pembajaan Tanaman
            Baja adalah bahan semula jadi atau dikilang yang mengandungi satu atau lebih unsur pemakanan tumbuhan. Ini adalah bagi memenuhi pemakanan tanaman. Selain itu, pembajaan ialah pemberian unsur pemakanan kepada tumbuhan dengan cukup mengikut kadar , masa dan cara yang disyorkan bagi tumbesaran dan pengeluaran hasil tanaman.
Dengan itu, tanaman halia juga memerlukan pembajaan yang secukupnya mengikut kadar yang telah ditetapkan. Apabila tanaman halia ditanam di kawasan tanah gambut, ia haruslah menggunakan baja campuran yang mengandungi 73 kg N, 44 kg PO  dan 236 kg KO sehektar. Manakala, bagi tanah yang  bukan organan, baja yang disyorkan ialah baja campuran yang mengandungi nilai 55 kg N, 67 kg PO dan 112 kg KO sehektar.
            Seterusnya, baja ditaburkan secara selerak seminggu sebelum menanam dan dua bulan selepas menanam di tabur dikeliling perdu.
Penyelengaraaan Tanaman
            Tanaman halia juga memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan sesuatu masalah daripada berlaku seperti masalah serangan perosak dan penyakit. Bagi tanaman halia, naungan diperlukan bagi pucuk-pucuk yang baru muncul dalam masa 2 hingga 4 minggu selepas menanam. Penggunaan naungan ini adalah untuk menggelakkan daripada benih yang baru dipindahkan ke ladang menerima kejutan cuaca yang panas terik. Oleh itu, naungan diperlukan bagi awal musim menanam agar akar tanaman halia dapat membiasakan dengan keadaan yang baru.
            Seterusnya, kawasan tanaman halia juga haruslah dijaga daripada rumpai yang boleh membawa pelbagai masalah kepada tanaman, seperti menjadi perumah kepada perosak dan penyakit serta menjadi pesaing kepada tanaman dalam pengambilan nutrien. Oleh itu, kerja merumput haruslah dilakukan sekurang-kurangnya 1 hingga 3 pusingan merumput dilakukan semasa membaiki batas tanaman.
             Kemudian, cara penyelengaran bagi serangan penyakit untuk tanaman halia adalah mengikut jenis penyakit yang menyerang. Antara penyakit tanaman halia ialah layu bakteria  ( Ralstonia soslanacearum ). Simptom bagi serangan penyakit ini ialah daun kering dan perang keemasan serta layu. Kemudian, batang dan rizom menjadi lembik dan busuk. Bagi mengelakkan daripada berlakunya penyakit ini ialah gunakan bahan tanaman yang bebas daripada penyakit ini dan musnakan pokok yang berpenyakit. Selain itu, elakkan menanam halia dikawasan yang sama dan pastikan kawasan tanaman mempunyai saliran yang baik.
           

Penyakit tanaman halia seterusnya ialah Reput akar ( Phytophtora spp ). Tanda serangan penyakit ini ialah bahagian yang diserang berair dan cepat reput. Manakala, cara pencegahan daripada serangan penyakit ini ialah dengan mengilirkan penanaman. Kemudian, penyakit lain ialah bintik daun dan cara pengawalannya dengan menyembur racun kulat Benomyl. Seterusnya, tanaman halia juga mempunyai risiko daripada serangan serangga perosak iaitu ulat penggorek ( Udasspes folus ). Cara untuk mengatasi masalah ini ialah menyembur racun pemethrin atau methamidopos.
Penuaian Hasil Tanaman
            Halia boleh dituai sebagai halia muda dan tua. Bagi halia muda, ia boleh dituai pada umur 4 hingga 5 bulan selepas menanam. Manakala, halia tua boleh dituai pada umur 8 hingga 9 bulan selepas menanam iaitu ketika batang daun mula menjadi kuning. Jika penuaian lewat dilakukan, maka ia akan meninggikan kandungan serabut. Selepas penuaian, elakkan hasil terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama kerana ia akan menyebabkan kehilangan air berlaku dan mutunya juga akan merosot. Kemudian, hasil penuaian halia tua ialah diantara 12 hingga 18 tan/hektar dan halia muda adalah diantara 9 tan/hektar.






























        i.             

No comments:

Post a Comment